Labels

Tuesday, August 27, 2013

19 kali kahwin, 46 anak, 100 cucu


Che Soh bahagia bersama isteri-isterinya ketika ditemu bual petang semalam.

“Saya pernah berkahwin 19 kali dan mempunyai 46 orang anak serta 100 cucu.”

Demikian luahan guru silat yang lebih dikenali ramai sebagai ‘Abe Soh Bini Ramai’ atau ‘Abe Soh Silat’. Che Soh Che Ahmad, 65, yang berasal dari Kampung Babong, Pulau Melaka, Kota Bharu, mempunyai kisah hidup yang unik kerana berkahwin sejak umur 15 tahun lagi.

“Jika dijumlahkan, saya mempunyai 19 isteri. Tetapi kahwin cerai dan sekarang tinggal tiga orang sahaja sebab seorang lagi sudah meninggal dunia,” katanya.

Tiga isteri Che Soh, Mariam Kadir, 53; Zawahir Mat, 52, dan Hasnah Che Omar, 52, turut serta semasa Sinar Harian ke kediaman keluarga besar itu.

Menurut Che Soh, biarpun sudah berpisah dengan isteri-isterinya yang terdahulu, namun hubungan mereka tetap baik dan masih berhubung antara satu sama lain sehingga kini.

“Anak-anak hasil bersama isteri terdahulu pun rapat dengan saya sampai sekarang termasuk hubungan baik ini juga terjalin bersama dengan anak-anak isteri sekarang yang ada 23 orang semuanya,” katanya.

Malah Che Soh berkata, apabila tiba musim raya, suasana sangat meriah dengan kehadiran kesemua 46 anaknya itu iaitu 26 lelaki dan selebihnya perempuan, berumur antara sembilan sehingga 49 tahun.

Selain itu, Che Soh berkata, dia bersyukur hubungan antara ketiga-tiga isterinya tidak mempunyai sebarang masalah malah boleh menjadi rakan baik sesama mereka.

“Cuma kadang-kadang kalau ada hal berbangkit dan ada tersinggung, terasa hati itu perkara biasa, sedangkan lidah lagi tergigit,” katanya.

Apabila ditanya rahsianya yang mampu memiliki isteri dan anak ramai itu, Che Soh berkata, kelebihan itu ketentuan ALLAH SWT.

Katanya, dia banyak menunaikan solat sunat Tahajud dan Istikharah di samping mengamalkan ayat-ayat lazim al-Quran untuk mengendalikan isteri degil.

“Saya juga mendidik isteri berpandukan sunnah Rasulullah SAW dan meminta mereka mengikut contoh isteri Rasulullah dalam melayan suami,” katanya.

Dalam pada itu, Che Soh berkata, dia lebih gemar mempraktikkan komunikasi efektif dalam kalangan ahli keluarganya bagi menguruskan hal rumah tangga.

“Saya akan bertindak menjadi sebagai penasihat dalam keluarga dengan menggunakan pendekatan agama seperti digariskan dalam Islam.


Sebahagian ahli keluarga Che Soh.


“Di samping itu, saya mengajar isteri-isteri agar berterus-terang jikalauada tidak puas hati dan jangan simpan dalam hati jika tidak suka,” katanya.

Che Soh berkata, kebijaksanaan mengendalikan masalah yang timbul juga penting dalam menguruskan keluarga yang besar.

Katanya, tiga anak lelakinya iaitu Che Azman, 35; Che Azwadi, 31, dan Che Azizul, 28 turut mengikut jejak langkahnya beristeri lebih daripada satu.

Sementara itu, isteri keduanya, Mariam berkata, suaminya itu seorang yang manja dan mudah dijaga serta adil kepada semua isterinya.

Mariam menyifatkan suaminya seorang yang bijak menyelesaikan masalah berbangkit antara dia dengan dua orang madunya yang lain.

“Kami sesama isteri tidak pernah menaruh perasaan dendam mahupun marah dan hubungan kami rapat seperti kawan-kawan serta tidak pernah bergaduh besar. Kalau ada apa-apa masalah yang timbul, kami akan terus bagi tahu suami dan biar suami selesaikan,” katanya.

Menurutnya, antara daya tarikan suaminya ialah keistimewaan memiliki kemahiran seni mempertahankan diri.

“Sebelum saya mengenali suami, saya sudah pun bertunang dan selepas berjumpa dengan suami, saya tertarik dengannya dan keluarga pun menyukainya dan merestui perhubungan ini,” katanya.

Anak gembira keluarga besar

“Saya sebagai anak rasa gembira ditakdirkan lahir dalam keluarga yang besar,” kata anak perempuan Che Soh,

Rabiaahtun Adawiah, 23, Anak ke-23 Che Soh itu berkata, kegembiraan dirasai ketika musim perayaan kerana disambut dalam suasana yang begitu meriah dengan kehadiran kesemua adik-beradik.

Menurutnya, biarpun berlainan ibu, tetapi tidak menghalang mereka adik-beradik menjalinkan hubungan kekeluargaan yang rapat.

“Setiap kali hari raya kami akan mempunyai tema warna baju raya dan kami tidak pernah mempunyai rasa cemburu antara satu sama lain.

Cuma kalau ada perselisihan faham itu perkara biasa, tetapi dapat diselesaikan dengan baik sebab abah pandai selesaikan,” katanya.

Rabiaahtun Adawiah berkata, ayahnya itu manja dengan anak-anak sekiranya sakit, ayahnya menuntut kesemua 46 anaknya balik menziarahinya walaupun sekejap.

“Saya sendiri yang telah kahwin ini pun ada dua anak masih tidur atas riba abah lagi sekarang ini, begitu juga dengan anak-anak yang lain,” katanya.

Bagi Rabiaahtun Adawiah, ayahnya itu seorang yang tegas dengan anak-anak dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Friday, August 23, 2013

Lima kes pembunuhan paling kejam di Malaysia

KEDUDUKAN KE-5 : Pembunuhan Altantuya Shaariibuu

Tarikh pembunuhan : 18 Jun 2006.


Mayat Altantuya telah diletupkan sehingga menjadi cebisan dan ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. Altantuya telah ditembak dua kali sebelum bom jenis C-4 diletupkan pada mayat mangsa. Mahkamah mengambil masa 159 hari untuk menyelesaikan kes berkenaan dimana tertuduh, Sirul Azhar dan Azilah dijatuhi hukuman mati. 

KEDUDUKAN KE-4 : Pembunuhan Sosilawati Lawiya

Tarikh pembunuhan : 30 Ogos 2010


Merupakan kes pembunuhan berprofil tinggi yang terbaharu. Jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya telah dibunuh bersama-sama dengan peguam, penasihat kewangan dan pemandu beliau apabila mereka membuat perjalanan ke Banting untuk berunding berhubung perjanjian tanah. Keempat-empat mangsa yang dilaporkan hilang, dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudiannya dibakar. Abu mereka bertaburan di sepanjang sungai berhampiran Ladang Gadong di Tanjung Sepat, dekat Banting. Buat masa ini seorang peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan dituduh melakukan pembunuhan tersebut.

KEDUDUKAN KE-3 : Pembunuhan Canny Ong

Tarikh pembunuhan : 14 Jun 2003

Canny telah diculik dengan diacukan sebilah pisau ke arahnya, di kawasan meletak kenderaan di kompleks membeli-belah Bangsar. Kemudian mangsa dirogol, ditikam dan dicekik sebelum di buang ke dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya. Penyerangnya, Ahmad Najib Aris kembali sehari kemudian untuk membakar mayat mangsa. Ahmad Najib kemudiannya menerima hukuman gantung sampai mati.

KEDUDUKAN KE-2 : Pembunuhan Nurin Jazlin

Tarikh pembunuhan : Diantara 20 Ogos 2007 (hilang) sehingga 17 September 2007 (ditemui)


Gadis yang berusia lapan tahun itu dilaporkan hilang selepas dia pergi ke pasar basah berhampiran rumahnya untuk membeli klip rambut pada malam 20 Ogos 2007, di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, mayat mangsa ditemui di dalam sebuah beg pada pagi 17 September 2007. Mangsa ditemui telanjang, dalam kedudukan janin dengan timun dan terung disumbat ke dalam kemaluannya. Siasatan telah dijalankan, tetapi sehingga hari ini pihak polis masih gagal mengesan pembunuh.

KEDUDUKAN KE-1 : Kes Mona Fandey

Tarikh pembunuhan : 18 Julai 1993 (10-12 malam)


Mangsa, Mazlan Idris yang juga merupakan ADUN Batu Talam, ingin meningkatkan kerjaya politiknya meminta bantuan Mona. Semasa upacara “pembersihan”, mangsa diarahkan berbaring di atas lantai menghadap atas, manakala Mona meletakkan bunga kepadanya. Mangsa kemudiannya diarahkan untuk menutup mata dan menunggu wang “jatuh dari langit”. Pembantu Mona, Juraimi Hassan kemudian memenggal kepala mangsa dengan sebilah kapak sebelum mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian. Mayat mangsa dijumpai dalam 18 keratan, dikebumikan di stor berhampiran dengan rumah Mona di Pahang.